Monday, March 19, 2012

Ana Ikan Bakar Petai, Bandar Baru Bangi

Mencari tempat makan malam di Bangi sebenarnya tak susah... ada banyak kedai-kedai, restoran yang bermacam tema dan citarasa ada di Bangi. Tapi aku jarang pergi ke kedai makan dan restoran yang macam-macam ini kecuali ada kawan-kawan yang bagi cadangan.

Hari ini hari Ahad, disebabkan perlu ke Kajang untuk mengambil barang, kami sekeluarga memutuskan untuk makan malam di Bandar Baru Bangi. Kami sampai di Masjid Hasanah, Seksyen 9 Bandar Baru Bangi tepat ketika azan untuk solat maghrib.

Dan kali ini aku rasa teringin untuk singgah di kedai makan milik sahabat sekolah lama aku iaitu Restoran Ana Ikan Bakar Petai. Ia terletak betul-betul di sebelah Balai Bomba Bangi, Persiaran Kemajuan.


View Larger Map

Tempatnya yang besar dan selesa, siap dengan kemudahan surau dan tandas, tempat permainan kanak-kanak dan yang penting ruang meletak kenderaan yang luas dan percuma.

Tempat memilih ikan juga agak luas dengan maklumat pilihan ikan, udang, sotong yang segar dengan harga dan cara masakan yang memuaskan.

Kami sekeluarga hanya memilih untuk makan nasi putih bersama Udang Goreng Butter, Sotong Bakar(gambar di bawah), Kerabu Mangga dan juga sup daging.


Amat memuaskan, memang sedap dan amat berselera. Dengan pilihan sos yang disediakan iaitu sambal kicap dan air asam, makan bersama sotong bakar memang terangkat!



Menurut tuanpunya restoran, Ummu Aiman, asal restoran ini adalah daripada Tanjung Lumpur, Kuantan yang mana terdapat 3 cawangan termasuk di Bandar Baru Bangi. Specialty atau hidangan istimewa di sini adalah Ikan, Udang atau Sotong Bakar Petai. Manakala terdapat juga hidangan sampingan seperti keropok lekor dan satar Kuantan. Restoran dibuka setiap hari bermula jam 5 petang hingga 12 tengah malam.

Dengan kepuasan makan seperti malam ini, aku takkan teragak-agak untuk datang lagi sekali membawa keluarga dan rakan-rakan untuk makan di sini.

Tahniah dan terima kasih kepada Ummu Aiman, Semoga bertambah maju jaya...


No comments: